Saturday, March 27, 2021

Izhar Halqi x NLFH x Nun Ha

Tajwid Asas : IZHAR HALQI



I



 I


Izhar Halqi: 

Izhar bererti jelas atau nyata. 

Halqi bererti kerongkong. 


Izhar bermaksud mengeluarkan sebutan huruf daripada makhrajnya tanpa tambahan pada dengung.


Huruf-hurufnya: 6 huruf yang keluar daripada kerongkong.   




Tanda-tanda bacaan:

Terdapat tanda sukun di atas nun sakinah dan tanda tanwin yang selari.

Cara bacaan: 

Hujung lidah ditekan ke gusi depan sebelah atas (makhraj huruf ن) dan membawa suara ke pangkal hidung sekadar untuk mera’ikan sifat tawassut. Hendaklah berhati-hati agar tidak berlaku saktah. 



Sunday, March 14, 2021

Eh


Eh, kita rasa kita suka 

Dalam suasana yang indah belaka 

Wujud saat yang kita alpa

Hidup kita penuh yang lecak 

Dari pagi hingga senja 

Sambung ke malam tanpa sedar 

Banyak lopak, lubang dan rekah

Tiada bongkah buat gabus

Kerana dalam tak sedar kita dikongkong 

Oleh kasih yang kita sokong 

Jadi terikut dicucuk hidung 

Semua tindakan bagai pak turut 


Eh, kita bukan lembu yang menurut 

Kita hanya tak mahu kelahi

Perkara kecil buat apa diheboh 

Orang tak tahu onak yang kita tempuh 

Yang jadi malas nak gaduh 

Bibit kasih lebih vital 

Banding dari soal daif 



Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021) 






Jangan Khianati Aku


Janji setia dilafaz

Akad bersama sepakat

Niat hati disatu

Genggam erat ikatan

Antara dua persaudaraan

Nyawa dihela selaras

Kunci hati biar sampai mati 

Harapan teguh jangan disakiti 

Ini bukan waktu kecil

Ada kawan ajak main

Nama permainan kahwin-kahwin 

Aku pohon engkau mafhum 

Tiada sebab nak selindung

Indahkan pasti luar dan dalam

Andai segalanya engkau maklum

Kupinta jangan khianati aku

Untuk sesuatu yang tak diredhai 


Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021) 






Gila

 

Mundar mandir tiada tujuan 

Mengharap petunjuk alam semesta 

Hala tuju mana penamat 

Moga diri tidak tersesat 

Alam yang luas terbentang 

Belum datang bukti kukuh 

Untuk aku segera pulang


Mundar mandir di lorong suram 

Buat aku menjenguk tinggi 

Adakah ada lampu terang 

Kan suluh lurus satu sasaran 

Bawa aku hujung jalan 

Yang waras bagi setiap orang 

Kan sangkal bahawa minda tenang 

Tidak gila masih siuman 

Ada tujuan juga harapan


Nukilan : Afiq Kashah (Mac, 2021) 




Gundah


Pabila lafaz akad dimetrai 

Beban tanggungan dipikul 

Ikatan persaudaraan disimpul 

Janji sehidup dipahat 

Tempuh onak bersama 

Tak kira apa rintangan 

Sepakat mengandar raga 

Menuju ke alam Firdausi 

Usah gundah dengan aral 

Itu resam harungi bahtera 

Usah gundah godaan asing

Orang cemburu bahagia dibina 

Usah gundah harta kering 

Aturan rezeki tuhan yang kirim 

Senyum tika gundah 

Pasti masalah ringan diredah 


Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021) 






Kau Sakiti


Bebal buku hati

Tangis dalam sepi 

Bisa diam tiada erti 

Omong kosong hari-hari  

Kerana kau memilih begini 

Untuk menjauh tanpa sesali 

Walau besar korbanan diri 

Beribu langkahan kaki 

Tinggi gunung didaki 

Juga lautan aku renangi 

Kau pandang enteng tiada definasi 

Tekad dan nekad kau pergi 

Langsung tiada sangsi

Aku kau sakiti 


Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021) 






Saturday, March 13, 2021

Hutang


Mulanya 

Ayat manis bertutur kata 

Lidah lembut jadi senjata 

Puji-pujian penyambut bicara 

Melambung-lambung bak puncak himalaya 

Ikatan saudara utuh selamanya 

Semua gah bagaikan pujangga


Seterusnya

Komplikasi hidup mula dibuka 

Suntingan masalah diatur gaya 

Tagihan pengharapan kitalah segalanya 

Sumber lain wujudnya tiada 

Kitalah penyelamat dunia 

Untuk dia yang meminta 


Pengakhirannya 

Janji manislah yang tinggi himalaya

Awalnya elak bila dipinta 

Lewat membisu senyap senantiasa

Batang hidung ghaib dari mata

Panggilan telefon lempiasan udara 

Sana sini tiada jumpa 

Cari-cari hilang di dunia


Penutupnya

Jangan esok akhirat menerpa 

Merangkak di mahsyar jerumus ke neraka 

Maka jangan sekali alpa 

Hutang, langsaikan segera 



Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021)







Peluang Kedua


Fikir-fikir sebelum berkata 

Tiap tutur ada makna 

Baik buruk jadi penanda 

Kerana mulut badan binasa


Fikir-fikir sebelum menulis 

Usah terlalu berayat sinis

Kelak nanti mendatang kudis 

Sesal kemudian tiada yang manis


Fikir-fikir sebelum menyebar

Tiada undur bila tersebar 

Antara kita ramai penyebar 

Tanpa selidik terus disebar 


Fikir-fikir sebelum bertindak 

Usah diturut semua kehendak 

Soal buruk katakan tidak 

Peluang kedua tak semua berhak 



Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021) 








Friday, March 12, 2021

Semalam


Semalam

Kita kesali perbuatan kelam

Kita rindui suasana tenteram

Suka dan duka di hati dalam

Buat terkenang saat diam


Semalam

Kita belajar ilmu pelbagai bidang

Kita selami selok belok alam

Besar kelak harus jadi orang

Bukan hanya pembuat jahanam


Semalam

Kita dididik bertatih oleh ibu 

Kita ditelaah baik buruk oleh ayah

Dewasa nanti jangan diam membisu

Ingat rumah walau jauh menjelajah


Semalam

Kita rukuk dan sujud atas sejadah

Kita khatam bacaan yang indah

Talian hayat di alam barzakh

Penentu neraca hari penyudah


Semalam

Pasti tidak akan diulang

Jangan ditoleh perkara yang hilang

Masa hadapan kan pasti terang

Jika berubah waktu sekarang


Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021)





Thursday, March 11, 2021

7 Nasihat


Hidup umpama wayang lakonan

Pentasnya dunia pancarnya mahsyar 

Perlakuan dinilai timbangan disukat 

Buat jawapan destinasi yang hakiki

Pastinya syurga pilihan abadi

Maka haruslah sedar wahai insan  

Jangan sesekali lemas pabila dipuji 

Kerana lidah tidak bertulang 

Lenggoknya pedih hunusan pedang 

Lebihan puji jurusnya keji 

Fitnah menjadi zikir berhari-hari

Jaga mulut dan tetapkan pegangan

Ingat, bukan kaya harta yang dicari 

Namun, kaya budi di dalam hati

Walau tujuh lapisan langit dan bumi

Bahkan tujuh benua dikau lawati 

Juga tujuh nasihat bak kata Siti 

Pastikan hati berjiwa nurani

Ikhlas dalam segala segi 

Kelak hidup sentiasa harmoni 


Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021) 

















Wednesday, March 10, 2021

Hati


Ku berdiri tiada siapa di sisi

Di tepian jalan yang hampir sunyi

Di waktu terik kian hilang sendiri

Tegal mendungnya awan berarak datang

Angin kuat mula menjenguk

Harus berlari mencari teduh

Namun hati berbisik nanti

Jangan pergi walau itulah badai

Tahan akal tahan diri

Hadapi dengan kendiri teguh

Hadapi dengan perisai penuh

Walau ia lebat sangkalanya tak panjang

Hujung jawapannya pelangi kan muncul

Maka hati kan tersenyum riang

Kerana hati yang berbisik nanti

Natijahnya hadir gembirakan hati


Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021)






Belenggu Rindu


Penakrifan yang tiada pengertian tetap

Pembolakan rasa yang tiada ketentuan masa

Menghantui segenap tubuh

Menakluk setiap penjuru bagai nista

Datangnya pasrah tanpa rela

Leka dalam buaian kepalsuan

Tanpa ada sokongan waja

Pedih laksana di penjara

Jika keluar bagai tiada pasti

Akan terjawab seperti yang dinanti

Mengapa ditanam rasa perit di jiwa

Soalan buat si mamai yang alpa

Yang hanya sering dibelenggu rindu


Nukilan: Afiq Kashah (Mac, 2021)