Friday, April 23, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 9

 Assalamualaikum w.b.t.


Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

(Surah Al-'Asr, ayat 1-3)


Perkara yang pasti takkan dapat diundur adalah masa. Selalunya aku suka tengok cerita TV mahupun Filem yang ada kaitan dengan merentas masa. Kerana itu adalah perkara yang pastinya takkan berlaku. Segala macam teori sains diceritakan dalam membikinkan kecemerlangan pengembaraan masa itu diterima dan dirialisasikan sebaiknya. Maka penonton dihidangkan dengan sesuatu yang memukau kerana masa dapat direntas. Walhal sudah terang lagi bersuluh, itu semua hanyalah mainan angan-angan setiap manusia kerana kita ingin mengubah sesuatu yang kita kesali di hari ini. Rugilah kita yang masih melihat kebelakang tetapi tidak mengatur sebaiknya yang di harapan.


Di bulan Ramadan yang mulia ini, ayuh kita jadilah orang yang berjaya memanfaatkan detik-detik masa yang ada dengan pengabdian kepada Allah melalui cara yang paling wajar.


Sekian.




Tuesday, April 20, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 8

 Assalamualaikum w.b.t.


Don't let yesterday take up too much of today.

Ada tika dan waktu kita berada hampa dengan perkara yang berlaku di hari semalam atau sebelumnya. Mungkin puasa kita tidak sempurna dek kerana jahilnya kita atau masa yang di sia-siakan begitu sahaja. Maka dengan itu, usahlah kita terus mengalah. Muhasabah diri dan manfaatkan baki dua per tiga Ramadan ini sebaiknya. Beruntunglah kita jika hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini.


Sekian.




Monday, April 19, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 7

 Assalamualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, setelah seminggu berterawih di rumah, pada hari ke 7, malam ke 8 ramadan ini aku dapat meluangkan masa berjemaah terawih di surau kondo tempat tinggalku. Kebetulan pula di surauku malam ini menerima ziarah daripada ADUN Kota Damansara, YB Tuan Haji Shatiri Mansor. Beliau sama-sama berjemaah terawih serta memberi sedikit sumbangan buat surau. Antara ringkasan intipati ucapan beliau, sama-samalah kita menyumbang semampunya kita, beribadah sehabisnya kerana kita tak tahu, andai ini Ramadan terakhir kita.


Kalau ditonton TV Alhijrah, tema yang dipilih juga adalah 'Andai Ini Ramadan Terakhir'. Maka sama-samalah kita bermuhasabah diri, rebut segala peluang beribadah dan manfaatkanlah sebaiknya masa-masa yang dilalui dalam bulan yang barakah ini. Ramadan bulan yang suci, rahmat melimpah dari Ilahi~.


Sekian.

Poster Ramadan TV Alhijrah 2021



Sunday, April 18, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 6

Assalamualaikum w.b.t.


Antara ungkapan yang masyhur di sebut-sebut sepanjang ujian Covid-19 di Malaysia ini adalah 'Kita Jaga Kita'. Benarkah kita jaga kita ini masih dipraktikkan di hari ini? Dikala pelanggaran SOP dilihat seperti biasa, suntikan vaksin menjadi alasan penyelesai segalanya, masih wujudkah nilai 'Kita Jaga Kita' dalam masyarakat. Atau masyarakat sudah letih dengan istilah juga ungkapan ini. Baik jaga diri sendiri daripada jaga sesama sendiri. Susah senang, sendiri yang lalui. Kerana ramai yang langgar SOP, buat apa nak jaga 'kita'. 


Moga di bulan Ramadan ini, kita diberi petunjuk sebaiknya dalam setiap tindak tanduk kita bersama. Moga kita kasih teguh berpegang pada prinsip 'Kita Jaga Kita'.


Sekian.




Saturday, April 17, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 5

 Assalamualaikum w.b.t. 


Jika ditanya tentang apa perkara yang aku rindui, yang pasti takkan kembali, pasti akan aku jawab, Ramadan di zamanku sekolah menengah. 


Seberapa banyak pun ibadah dan amalan yang aku cuba lakukan di bulan Ramadan dewasa ini, pasti susah untuk dibandingkan dengan kualiti di zamanku yang dulu. Tetapi itu tak bermakna kita hanya akan pasrah sahaja. Haruslah diri kita tetap meneruskan iltizam yang jitu untuk sentiasa memperbanyakkan ibadah di setiap Ramadan dan juga bulan-bulan yang lain. Perintah wajib jangan ditinggal, amalan sunat diperbanyakkan, barulah hidup sentiasa ada rahmat. Semoga bersama kita jalani Ramadan ini dengan penuh rasa ingin berebut nikmat dan rahmat yang Allah janjikan di bulan Ramadan.


Sekian.


Antara bahan paling laku di bulan
Ramadan lepas (2020)




Friday, April 16, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 4

 Assalamualaikum w.b.t.


Kadang kita tak sedar, apa yang kita cakapkan tentang orang lain, berkenaan dengan perlakuannya, tindak tanduk serta tingkah lakunya, juga keputusan yang dibuatnya, adalah perkara yang sama seperti kita lakukan. Sibuk cakapkan sipolan itu begitu begini, walhal kitalah yang begitu begini. Sibuk beritahu orang lain yang sipolan itu begitu begini, walhal sama sahaja kita dengan sipolan tersebut. Kita tak sedar kerana kita tak nampak akan diri kita yang sebenar. Atau mungkin kita tak terima akan diri kita yang sebenar. 


Kadang-kadang, orang sekeliling sedar yang kita tak sedar, bahawasanya kita sama dengan sipolan. Tetapi orang sekeliling tak terucap kata-kata untuk berterus terang tentang segalanya kerana egoisnya diri kita menolak serta memasamkan kebenaran yang pahit untuk ditelan. Pasti muka akan terlihat cemberut, reaksi akan terpacul amarah, jiwakan memberontak, menolak sebulatnya kenyataan nista. 


Susah untuk dimuhasabah, kerana hormat tiada terletak. Susah untuk menerima, kerana diri dianggap mulia. Kekal tenang tanpa kesan. Walau yang rapat menegur, pasti tiada yang betul. Ditinggi suara, dilempias emosi negatif, yang pasti merajuk kan menjadi. Yang menegur pula terasa serba salah, kesal dan bingung, akukah yang salah susunan kata, akukah yang tak patut mencerahkan keadaan, akukah yang dituduh maksum. 


Sedih. Hiba dalam diam. Bukan si dia tahu, kerana pilu tak dapat dilalu. Tak terungkap di luaran, namun terkesan di dalam. Aku menegur, aku yang kena. Hidup tak sentiasa meriah, ada masa hubungan menjadi renggang, seperti tidur membelakangkan alam, merajuk tiada bertepi. Fikiran langsung ke diri, bukan untuk iktibar hari-hari. Moga ramadan dapat mendidik diri.


Sekian. 




Thursday, April 15, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 3

 Assalamualaikum w.b.t.


Dulu aku pernah bekerja sambilan sebagai cleaner cabin kapal terbang di KLIA. Kerjanya ikut shift, kadang siang, kadang malam. Beberapa hari kerja, lepas tu off, lepas tu kerja lagi beberapa hari. Tugasnya mudah, kapal terbang landing, masuk bay, kita naik bersihkan tempat duduk, lap table, lap seat, vacuum lantai, pantry dan sebagainya. Apabila tiba bulan puasa, waktu siang memang tak boleh makan minum la. Bila nak masuk maghrib, selalu dapat coklat kurma daripada cabin crew, dan lebih best lagi, kalau terlajak murah rezeki, dapat la makan hidangan atas flight, nasi ke mee/spaghetti ke. Rasa sedap lain macam sebab daripada atas flight dan free. Hahaha.


Itu cerita shift yang jumpa waktu maghrib, ini nak cerita kalau kerja siang hari. Sebabkan kerja dalam lapangan tu tak ada la penguatkuasa agama, jadi nya ada segelintir Melayu Islam ni dengan slumber menayangkan ketidakpuasaan mereka. Ada yang rileks meneguk air, tak kurang juga yang rileks menghembus asap rokok di kawasan yang dibenarkan. Banyak alasan yang pernah ku dengar. Yang best nya macam Tak Bangun Sahur. Senang betul alasannya. Bersahur bukanlah syarat untuk berpuasa ye. Bersahur itu adalah perkara yang menjadi sunnah Rasulullah.


Daripada Anas r.a., beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Bersahurlah kamu, kerana dalam sahur itu terdapat keberkatan". (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Jadikan bangun sahur di bulan Ramadan ini sebagai satu amalan harian, kalau makan lewat malam sebelum tidur tu panggilnya Supper tau, bukan sahur. Bangunlah sahur walau dengan seteguk air. Kalau ada kurma, lebih baik. Tu jela nak dicoretkan.


Sekian.




Wednesday, April 14, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 2

 Assalamualaikum w.b.t.


Setiap daripada kita pasti akan meletakkan suatu azam jika tibanya suatu musim yang baharu. Azam yang tinggi itu perlu ada. Namun beringatlah, jangan meroket tanpa payung terjun. Jangan mendaki tanpa kasut yang sesuai. Akibatnya nanti azamnya entah ke mana. Persoalkan diri untuk menuju ke puncak. Bukan hanya berangan di pagi hari dan masih berangan ketika bulan sudah di atas kepala.


Jika di bulan puasa kita nakkan itu ini, siapkan dengan strategi yang direkod, bukan hanya dengan catatan di benak otak, atau dengan ucapan yang hilang dihembus angin. Azam untuk jadi yang terbaik bukan kerana makhluk di sekeliling, atau entiti di balik kaca gajet, tetapi kerana tuhan di Arasy, Allah s.w.t.


Sekian.


Harapan Ramadan


Tuesday, April 13, 2021

Ramadan 1442 H - Coretan 1

 Assalamualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, kita dipertemukan lagi ke bulan Ramadhan, bulan yang penuh rahmah juga barakah. Bulan yang dianggap sebagai bulan pesta ibadah, ganjaran pahala berlipat kali ganda, tertutup pintu neraka, dibuka seluas-luasnya pintu syurga. Bersyukurlah kita kerana masih dipilih untuk memakmurkan bulan yang penuh keberkatan ini. Manfaatkan setiap detik dan waktu dengan amal ibadah yang wajib mahupun sunat. Berpuasa dengan hati yang tenang dan penuh kesabaran. Tahan nafsu daripada berbuat perkara-perkara lagha. Hidupkan setiap malam dengan solat sunat terawih. Banyakkan sedekah dan bacaan Alquran. Inilah bulan diturunkan Alquran, makan raikanlah sebaiknya. Semoga kita sama-sama bertemu dengan malam yang lebih baik daripada seribu bulan, Lailatul Qadr.


Sekian.